Sunday, September 26, 2010

Struktur Gigi

Struktur Gigi


Professor Dr. Rahimah Abdul Kadir
( BSc, DDS, MSD, MPH, DrPH )
Bagi anda yang gemar mengambil makanan bergula, perlu lebih berhati-hati kerana kandungan gula dalam makanan itu menjadi punca utama kerosakan gigi. Ia juga menyebabkan gusi anda bengkak dan mulut berbau busuk.

Sebelum membincangkan bagaimana kerosakan itu terjadi, anda perlu mengetahui pembahagian setiap batang gigi.

Gigi terbahagi kepada tiga bahagian iaitu korona, leher dan akar. Korona ialah bahagian yang mudah dilihat apabila anda membuka mulut. Leher dan akar gigi tertanam dalam gusi dan tulang rahang.

Struktur binaan gigi terdiri daripada bahagian berikut:





Enamel -
ialah lapisan gigi yang paling keras; terletak di lapisan luar sekali dan berwarna putih atau kekuningan.

Dentina -
terletak di bawah lapisan enamel dan selalunya lebih lembut dan berwarna kekuningan.

Pulpa -
tisu ini terletak paling tengah sekali dan mengandungi urat saraf dan saluran darah yang membawa makanan untuk gigi.

Simentum -
lapisan nipis inilah yang mengelilingi akar gigi kita.

Gigi tidak boleh tegak tanpa sokongan bahagian berikut:

Gusi -
ialah tisu lembut yang mengelilingi leher gigi.

Tulang alveolus -
ialah tulang rahang yang menyokong akar gigi.

Membran Periodontium -
ialah jaringan serat yang menyokong simentum ke tulang alveolus.
Setelah memahami struktur gigi, kita akan membincangkan pembentukan karies gigi. Karies terjadi daripada plak gigi. Plak ialah makanan yang melekat di celah gigi. Ia mengandungi kuman. Kuman itu akan bertindak balas dengan gula yang terdapat dalam makanan yang terselit di celah dan menghasilkan asid. Asid itu akan mrnyebabkan permukaan gigi menjadi lembut dan akhirnya gigi anda berlubang. Keadaan itu dipanggil karies gigi.